Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan bila-bila masa sekiranya Perikatan Nasional (PN) bertindak menarik semula sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan termasuk jika berlaku penarikan sokongan berkenaan.

“Kalau ada yang menarik so­kongan dan kerajaan tumbang, maka pilihan raya umum perlu diadakan selepas itu.

“Saya pun dengar berita ma­cam itu (penarikan sokongan). Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, jadi terserah kepada siapa untuk membuat sebarang keputusan.

“Mana-mana parti pun boleh buat keputusan sendiri, yang pentingnya kesan daripada itu kita terpaksa hadapi jika ada yang menarik sokongan,” kata­nya selepas merasmikan Pame­ran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan 2022 (MAHA 2022), di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, dakwaan tersebut tidak dikeluarkan oleh PN secara rasmi tetapi hanya pendapat individu.

“Kenyataan tersebut tidak dikeluarkan secara rasmi oleh parti itu, mungkin satu dua orang sahaja. Ada dalam kalangan ahli parti mengatakan perkara itu tidak pun dibawa dalam mesyuarat, dari segi tindakan mesti berdasarkan keputusan rasmi parti,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sedia menghadapi kemungkinan termasuk kejatuhan kerajaan kerana penarikan sokongan tersebut.

“Kerajaan sentiasa bersedia dalam apa saja keadaan kita sedia, kalau bersedia untuk adakan PRU, maka kita akan adakan.

“Kalau kerajaan hari ini masih kekal, maka kita akan pertimbang dari segi tarikh PRU mengikut kesesuaian. Saya dah sebut, PRU akan tetap diadakan cuma tarikh yang sesuai akan ditentukan.

“Tapi kalau ada tindakan-tindakan menarik sokongan sebelum tarikh yang ditentukan, kita juga akan mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia dengan memetik seorang menteri yang didakwa menjadi dalang supaya Bersatu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Kata sumber berkenaan, perkara itu sebaliknya tidak mendapat kata putus daripada ahli Malis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, individu tersebut menyatakan perkara itu sewaktu mesyuarat MPT Bersatu, Selasa lalu atas beberapa faktor, namun ditegur Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan menjelaskan yang perkara ini perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik.

“Ketika menteri itu bercakap panjang lebar, tiada menteri lain pun yang menyokong, cuma ada beberapa pimpinan yang saya lihat secara minoriti menyokong usaha tersebut. Kita bincang apa baik dan buruknya jika menarik sokongan. Tetapi tiada keputusan yang dibuat.

“Maka, sebab itu saya berpandangan yang menteri itu keluar daripada kumpulan whatsapp kerana merasakan MPT ini tidak berguna kerana tidak boleh membuat kata putus mengenai sesuatu perkara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Saya tidak tahu kenapa dia keluar, tetapi sudah tentu antara intipati yang ingin dibincangkan dengan Perdana Menteri adalah mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini tular mengenai laporan yang mendakwa PN sedang mempertimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri .

Laporan itu mendakwa, pertimbangan tersebut adalah kerana Ismail Sabri tidak menunaikan janji untuk melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun laporan ter­sebut dinafikan beberapa ahli MPT yang dihubungi Utusan Malaysia semalam, antaranya, Datuk Razali Idris berkata, parti itu masih kekal menyokong Perdana Menteri dan tiada isu untuk menarik sokongan seperti yang disebarkan.

“Saya ada dari awal sampai akhir mesyuarat itu, ada benda yang kita tak bersetuju tetapi dalam rangka dasar perbincangan. Tapi kita bincang yang kita nak adalah empat orang wakil Perikatan Nasional berjumpa dengan Perdana Menteri, dan selepas itu baru kita bincang selepas ada keputusan.

“Bukan setakat itu Timbalan Perdana Menteri, malah kita juga turut bincang mengenai terma perjanjian sebelum Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Yang laporkan kata kita nak tarik sokongan ini, siapa yang cakap,” soalnya.

Dalam pada itu, Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menafikan bahawa PN dan Bersatu ingin menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, berita itu tidak benar sama sekali dan menegaskan, pihaknya masih menyokong kerajaan hari ini.

“Tak betul berita itu (tarik sokongan. Kita masih sokongan kerajaan hari ini),” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Perikatan Nasional (PN) membayangkan mengkaji semula perjanjian dengan Naib Presiden UMNO itu ekoran tindakan beliau membatalkan pertemuan dengan pemimpin kanan gabungan itu selain membabitkan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, namun pihaknya perlu membuat perbincangan lanjut berhubung sebarang tindak balas yang akan dilakukan. – Sumber :  UTUSAN

𝗨𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝗧𝗲𝗿𝗸𝗶𝗻𝗶,𝗧𝗶𝗽𝘀 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻,𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻,𝗥𝗲𝘀𝗲𝗽𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗼𝘁𝗶𝘃𝗮𝘀𝗶 𝗙𝗼𝗹𝗹𝗼𝘄,𝗟𝗶𝗸𝗲 & 𝗦𝗵𝗮𝗿𝗲 𝗣𝗮𝗴𝗲 𝗞𝗮𝗺𝗶 𝗟𝗶𝗳𝗲 𝗟𝗶𝗻𝗲 𝗡𝗲𝘄𝘀

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply