SELEPAS HAMPIR SEMINGGU DITAHAN DI PENJARA, PASANGAN KONTROVERSI, SITI NURAMIRA ABDULLAH DAN KEKASIHNYA V. ALEXANDER NAVIN AKHIRNYA SELESAI MEMBAYAR JUMLAH KESELURUHAN JAMINAN RM40,000 HARI INI. 

Jaminan kedua-dua tertuduh dibayar oleh dua penjamin berbeza yang didakwa merupakan kawan kepada pasangan itu sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Bagi urusan pembayaran, penjamin Siti Nuramira hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sementara seorang lagi rakan mereka ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi menjamin Navin.

Peguam bela kedua-dua tertuduh, R. Sivaraj berkata kos jaminan itu dikumpul menerusi sumbangan orang awam daripada dalam dan luar negara yang dimasukkan menerusi akaun bank Lawyers For Liberty (LFL).

“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti penjamin namun duit jaminan itu merupakan sumbangan orang ramai. Atas jasa baik LFL, kami dibenarkan untuk menggunakan bank akaunnya sebagai medium untuk mengumpul dana berkenaan.

“Setakat ini, kami belum tahu bila Siti Nuramira dan teman lelakinya akan dibebaskan kerana mereka perlu menjalani beberapa prosedur termasuk ujian Covid-19 sebelum boleh dibebaskan,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Sivaraj berharap anak-anak guamnya boleh dibebaskan hari ini ataupun selewat-lewatnya esok.

Siti Nuramira, 28, ditahan di penjara satelit Beranang manakala Navin, 38, ditempatkan di penjara satelit Kuala Kubu Bharu sejak 13 Julai lalu.

Pada tarikh yang sama, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Navin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – Sumber : UTUSAN ONLINE 

𝗨𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝗧𝗲𝗿𝗸𝗶𝗻𝗶,𝗧𝗶𝗽𝘀 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻,𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻,𝗥𝗲𝘀𝗲𝗽𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗼𝘁𝗶𝘃𝗮𝘀𝗶 𝗙𝗼𝗹𝗹𝗼𝘄,𝗟𝗶𝗸𝗲 & 𝗦𝗵𝗮𝗿𝗲 𝗣𝗮𝗴𝗲 𝗞𝗮𝗺𝗶 𝗟𝗶𝗳𝗲 𝗟𝗶𝗻𝗲 𝗡𝗲𝘄𝘀

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply