Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low harus kembali ke tanah air menghadapi perbicaraan di mahkamah, bukannya bersembunyi di luar negara dan cuba menawarkan penyelesaian dengan pihak berkuasa Malaysia.

Kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, tindakan Jho Low itu bahkan lebih kepada satu pengakuan bahawa dia telah melakukan jenayah menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia.

“Jika dia tidak berbuat salah mengapa Jho Low sanggup menawarkan sehingga RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai balasan jika semua pertuduhan ke atas dirinya di mahkamah Malaysia digugurkan?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hassan juga mempersoalkan jika Jho Low begitu memandang rendah sistem kehakiman di Malaysia sehingga menganggap semuanya boleh dijual beli.

“Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman Malaysia sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar-menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya jika ada harga yang sesuai boleh dibayar?” katanya.

Pemimpin PKR itu memuji Jabatan Peguam Negara dan pegawai SPRM kerana mengambil pendirian menolak tawaran Jho Low.

Bagaimanapun, Hassan mempersoalkan mengapa penolakan itu hanya berlaku selepas beberapa rundingan dan bukannya sebelum proses itu.

“Mengapa tidak ditolak dari awal-awal lagi? Tidakkah tugas peguam negara ialah membawa balik Jho Low ke Malaysia untuk dibicarakan dan menjadi saksi penting kepada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak?” kata Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas SPRM Mengenai Rasuah.

Pertemuan kelihatan positif

Dia juga menyuarakan kekecewaan terhadap bekas peguam negara Mohamad Apadi Ali kerana bertindak sebagai “perantara” untuk Jho Low.

“Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah Malaysia boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya besar seperti RM1.5 bilion.

“Tidakkah bekas Apandi menyedari bahawa Jho Low telah terlibat dalam jenayah penipuan skandal 1MDB yang menyebabkan kerajaan Malaysia mengalamai kerugian berjumlah lebih RM50 bilion ringgit?” katanya.

Sejak 2018, Jho Low dan sekutunya menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.

Dia juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

Pada 2020, SPRM membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan Najib menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

Sementara itu di AS, dia didakwa dengan konspirasi untuk mencuci berbilion dolar yang berasal dari 1MDB, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa Jho Low telah menghubungi mereka dan agensi lain melalui wakil untuk merundingkan penyelesaian, tetapi AGC telah menolak semua tawaran itu.

Terdahulu, Apandi mendedahkan dia telah didekati firma guaman Kobre & Kim yang berpangkalan di Washington pada akhir Mei lalu.

Katanya ia adalah untuk mengatur pertemuan yang melibatkan peguam firma terbabit, Peguam Negara Idrus Harun, dan seorang pegawai SPRM untuk membincangkan penghantaran pulang wang yang didakwa diseleweng oleh Jho Low daripada 1MDB.

Apandi berkata pertemuan itu kelihatan positif pada masa itu, tetapi AGC kemudiannya membatalkan rundingan itu.

AGC mahupun Apandi tidak mendedahkan butiran tawaran Jho Low, tetapi laporan oleh The Edge mendakwa Jho Low menawarkan RM1.5 bilion untuk pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Jho Low tidak mengulas secara terbuka mengenai rundingan yang gagal itu.

Sebelum ini, Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara tahun 2020 dia berkata bahawa dia hanyalah perantara dalam urusan 1MDB. – Sumber : malaysiakini

𝗨𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝗧𝗲𝗿𝗸𝗶𝗻𝗶,𝗧𝗶𝗽𝘀 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻,𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻,𝗥𝗲𝘀𝗲𝗽𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗼𝘁𝗶𝘃𝗮𝘀𝗶 𝗙𝗼𝗹𝗹𝗼𝘄,𝗟𝗶𝗸𝗲 & 𝗦𝗵𝗮𝗿𝗲 𝗣𝗮𝗴𝗲 𝗞𝗮𝗺𝗶 𝗟𝗶𝗳𝗲 𝗟𝗶𝗻𝗲 𝗡𝗲𝘄𝘀

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply