Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk melantik seorang Senator Dewan Negara dalam kalangan belia bagi membolehkan suara belia lebih didengari.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu dilakukan setelah mengambil kira kepentingan belia kepada masa depan negara.

“Saya bincang dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) tentang pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti akan didengari dan pandangan belia pasti dihargai oleh kerajaan.

“Untuk mendengar suara belia, saya mengumumkan untuk melantik seorang senator daripada kalangan belia dan saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan didengari secara terus daripada wakil belia kita,” katanya pada sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan di Padang Pekan Tuaran hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsikan bersama pertubuhan-pertubuhan belia lain.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta bagi memperkasa peranan belia melalui Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan-pertubuhan belia di negara ini.

Daripada jumlah itu, RM1.5 juta telah diagihkan kepada pertubuhan belia dan selebihnya RM3.5 juta sedang diproses dan pembayaran akan dilakukan pada waktu terdekat.

Sambutan Hari Belia Negara bertemakan ‘Ini Masa Kita’ dihadiri lebih 5,000 orang belia daripada seluruh Sabah.- Sumber : Utusan Online

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply