Kekecohan tercetus di kediaman rasmi Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe kelmarin, apabila penunjuk perasaan merempuh masuk dan menyalakan api di kawasan tersebut.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai bersorak selepas mencetuskan kebakaran yang berlaku sejurus selepas pengawal keselamatan yang bertugas di kediaman Ranil menyerang sebilangan wartawan di luar rumah.

Asap berwarna merah pula dilihat menjulang ke langit ketika api menyambar.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran setakat ini dan polis berkata, Ranil serta keluarganya tiada di rumah semasa perusuh memulakan kebakaran.

Ranil sebelum itu mengadakan pertemuan dengan para pemimpin politik di mana beliau memaklumkan bersedia berundur untuk membuka jalan kepada kerajaan perpaduan.

Namun, usahanya gagal menenangkan penunjuk perasaan yang menyerbu kediaman peribadinya dan membakarnya menjelang malam kelmarin.

Dalam pada itu, Presiden Gotabaya Rajapaksa pula terpaksa dibawa lari dari kediamannya oleh tentera yang melepaskan tembakan ke udara selepas orang ramai membanjiri kawasan tersebut bagi mendesak peletakan jawatannya.

Gotabaya dikatakan telah menaiki kapal tentera laut di pelabuhan Colombo dan dibawa ke perairan selatan pulau itu.

Tidak lama selepas penunjuk perasaan menyerbu dan menceroboh Istana Presiden, pejabat tepi laut berdekatan milik Gotabaya turut jatuh ke tangan penunjuk perasaan.

Pasukan keselamatan cuba menyuraikan orang ramai yang menyerbu daerah pentadbiran Colombo pada petang hari yang sama dengan berpuluh-puluh cedera dalam pertempuran yang berlaku.

Jurucakap hospital utama Colombo berkata, tiga penduduk awam dirawat akibat cedera ditembak di samping 36 yang lain mengalami kesukaran bernafas selepas terperangkap dalam serangan gas pemedih mata.

Kebakaran itu berlaku beberapa jam selepas Ranil berkata bahawa beliau akan meletakkan jawatan berikutan krisis ekonomi yang semakin buruk. – Sumber : KOSMO

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply