Stok ‘melimpah’. Itu kata peniaga kedai runcit dan borong di sekitar Pasar Sungai Golok di sini ketika ditanya mengenai bekalan minyak masak peket dari Malaysia di premis mereka.

Situasi tersebut berbeza di negara ini termasuk di Kelantan apabila bekalan minyak masak peket di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya `kering’ sehingga menimbulkan rungutan kepada orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Sungai Golok dan kawasan sekitarnya mendapati hampir semua kedai runcit menjual minyak masak peket bersubsidi dari Malaysia selain beberapa barang kawalan lain seperti tepung gandum dan gula.

Para peniaga di negara jiran melonggokkan sejumlah minyak peket bersubsidi itu sebagai daya tarikan pelanggan sekali gus menunjukkan walaupun Malaysia pengeluar barang tersebut tetapi rakyatnya berdepan bekalan terputus.

Bekalan

Seorang peniaga runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Ting, 40, berkata, bekalan minyak masak peket tidak pernah terputus walaupun bekalan di Malaysia senantiasa dilaporkan ‘kering’.

Katanya, dia mendapat bekalan minyak masak peket itu daripada `orang Malaysia’ yang menyeludup barang tersebut melalui laluan tikus.

“Setiap bulan saya akan menyimpan sekurang-kurangnya 2,000 peket minyak masak sebagai stok jika bekalan lambat sampai.

“Biasanya saya bekal minyak masak ini kepada peniaga-peniaga kedai masakan panas dan penjaja kecil di tepi jalan di sini,” katanya.

Ting berkata, minyak masak peket dari Malaysia mendapat permintaan tinggi rakyat di sini kerana berkualiti dan harganya walaupun dijual sekitar RM6 hingga RM6.50 setiap peket.

“Kami banyak guna minyak masak Malaysia berbanding keluaran Thailand yang menggunakan kacang soya dan biji bunga matahari sebagai minyak masak

“Selain kualiti, minyak masak Malaysia juga dijamin halal sekali gus menarik pembeli muslim untuk mendapatkanya,” ujarnya.

Barangan subsidi

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Esen, 50, berkata, dia menjual semua barangan subsidi dari Malaysia termasuklah minyak petrol dan diesel.

Menurut beliau, bahan api dari Malaysia memang mendapat permintaan tinggi di kawasan kampung kerana ia dijual dengan harga lebih murah berbanding di negara ini.

Esen memberitahu, penjualan dan penyeludupan barang kawalan dari Malaysia bukan perkara pelik kerana ia sudah berlaku sudah lama.

“Kalau penguatkuasaaan di sempadan atau jalan tikus diperhebatkan, kami di sini tidak hairan dan sabar menunggu pertambahan bekalan yang sentiasa pulih tidak lama selepas itu,” ceritanya.

Jelas Esen lagi, dia dan penduduk di sini mengetahui masalah stok minyak masak peket di Malaysia berkurangan tetapi menyifatkan ia bukan `luar biasa’ atau masalah mereka.- Sumber :  UTUSAN

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply