Program agih 40,000 biji telur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di sini hari ini habis dalam tempoh 45 minit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat berikutan kenaikan mendadak harga telur dan minyak masak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka meminta mana-mana syarikat atau individu yang ingin menyumbang minyak masak  percuma untuk turut serta pada program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Sambutan pengagihan 1,000 papan telur habis dalam tempoh tidak sampai 45 minit menjelang sambutan  Hari Raya Aidiladha.

“Program ini adalah kerjasama daripada pelbagai pihak yang mahu membantu penduduk yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

“Sekurang-kurangnya bantuan telur ini dapat meringankan sedikit beban isi rumah kerana harga telur naik mendadak ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai program berkenaan.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nor Azizah Yazid, 34, meluahkan lega selepas memperoleh satu papan telur percuma.

“Harga telur sekarang mahal, apabila ada program pengagihan secara percuma saya tidak lepaskan  peluang menerima sumbangan ini,” katanya.

Pesara, Hasan Saad, 75, pula mengharapkan lebih banyak program bantuan percuma kepada rakyat diadakan  selepas ini.

“Walaupun hanya sepapan telur saya bersyukur menerimanya, sedikit sebanyak rasa lega menjelang Hari Raya Aidiladha ini,” katanya.-Sumber : UTUSAN

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply