Bekas calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membuat serta menghantar video jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Umno menerusi aplikasi TikTok dan YouTube.

Jufazli Shi Ahmad, 33, selaku orang kena saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Dia didakwa memuat naik video bertajuk ‘Pak Mail dan Umno naikkan harga barang sangat mahal pada 1 Julai 2022’ dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi TikTok@King Maker pada 3 petang 23 Jun 2022.

Lelaki itu juga didakwa memuat naik video bersifat jelik di YouTube King Maker Politik bertajuk ‘Panas!! Supermodel Kantoi Merompak RM77.3 bilion’ pada 3 petang 27 Jun 2022.

Kedua-dua pautan video itu dilihat dan dibaca pada 3 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 24 Jun dan 1 Julai lepas.

Jufazli didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan gagal memberi kata laluan laman profil aplikasi YouTube dan TikTok @King Maker yang disimpan dalam telefon bimbit kepada dua pegawai polis di IPD Dang Wangi pada 3 petang 5 Julai lepas.

Bagi pertuduhan ini, Jufazli didakwa mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling, yang dibantu oleh Nadia Mohd Izhar, menawarkan jaminan RM40,000 bagi keempat-empat pertuduhan serta memohon mahkamah mengeluarkan perintah melarang OKS membuat sebarang penghantaran jelik dan palsu di mana-mana platfom komunikasi sehingga kes selesai.

Peguam Rajsurian Pillai pula merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan Jufazli tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah membenarkan Jufazli diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan serta melarangnya membuat apa-apa kenyataan berkaitan kes itu sehingga ia selesai.

Nor Hasniah menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes.- Sumber : Malaysiakini

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply