Pemandangan langit bertukar warna menjadi hijau di negeri Dakota Selatan, Amerika Syarikat menjadi tular di media sosial dengan keadaan itu dipercayai berlaku sejurus sebelum ribut menghampiri bandar Sioux Falls, lapor laman Newsweek.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, cuaca buruk itu adalah sebahagian daripada ‘derecho’, siri lanjutan ribut bersambung yang termasuk angin melebihi 93 kilometer sejam.

Beberapa gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan imej dramatik langit berwarna hijau dan awan ribut yang menakutkan menghampiri Bandar Sioux pada lewat petang.

Ahli meteorologi NWS, Cory Martin mengulas tentang warna langit luar biasa dan berkongsi di laman Twitter yang menjelaskan bahawa kesan visual itu adalah disebabkan oleh cahaya kemerahan dari Matahari terbenam yang bertindak balas dengan titisan air biru di dalam awan ribut.

“Ribut petir biasanya berlaku lewat petang apabila langit mengambil warna kemerah-merahan ketika sudut Matahari perlahan-lahan mula menghampiri ufuk.

“Zarah dalam awan ribut dengan kedalaman yang besar dan kandungan air terutamanya, akan menyerakkan cahaya biru. Apabila cahaya kemerahan yang bertaburan oleh atmosfera menerangi titisan air biru di awan,  ia akan kelihatan bercahaya hijau,” katanya.

Lebih 28,000 orang terputus bekalan elektrik di Dakota Selatan ketika ribut melanda, walaupun kira-kira 20,000 telah pulih semula pada sebelah malamnya, demikian menurut PowerOutage AS.

Ribut itu bergerak ke Air Terjun Sioux dari arah barat sebelum keluar dari negeri itu dan menuju ke barat daya Minnesota dan barat laut Iowa. – Sumber : Kosmo Online

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply