Seorang pekerja ladang Semantan Mentakab di sini cedera dan patah pergelangan kaki kiri dipijak gajah liar ketika bekerja di ladang itu kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Rosidan Md. Yasin berkata, mangsa, N. Arjunan, 55, merupakan seorang pekerja am di ladang berkenaan.

Menurutnya, lokasi kejadian berlaku dalam Ladang Semantan Mentakab yang bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat sekumpulan gajah.

“Pejabat Perhilitan Temerloh menerima aduan berkaitan perkara itu pada pukul 4.15 petang dan dua staf bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas kejadian, mangsa menghubungi Penolong Pengurus Ladang untuk mendapatkan bantuan dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShas) Temerloh,” katanya di sini semalam.

Menurut Rosidan, berdasarkan kesan tapak kaki dan najis, dianggarkan sebanyak tujuh ekor gajah yang berkeliaran mencari makan dan tersasar masuk ke ladang Semantan.

Menurutnya, pihaknya memantau pergerakan gajah itu untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang lagi. –Sumber : UTUSAN 

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply