Suspek kes pembunuhan kejam dengan mengelar leher isteri dan bayinya berusia dua bulan direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari, di sini.

Suspek berusia 25 tahun yang berpakaian baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.

Semalam, suspek ditahan pada pukul 2.45 petang di Permas Jaya, di sini selepas melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal.

Dia disyaki membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif berusia dua bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong berserta sebuah motosikal yang ditunggang suspek.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian bunuh itu dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah di kawasan Bakar Batu.

Suspek melangsungkan perkahwinan dengan isterinya pada tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menunggu detik untuk majlis resepsi perkahwinan mereka serta majlis akikah untuk anak sulung mereka pada 24 Julai ini.

Pada hari kejadian, jiran ternampak suspek mengheret isterinya keluar dari rumah mereka dalam keadaan berlumuran darah.

Jenazah ibu dan anak itu dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu sebelum selepas zuhur. –Sumber : UTUSAN

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply