Kerajaan mengumumkan pemberian tunai tambahan menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40 yang terkesan dengan kos sara hidup susulan tiada subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BKM yang diberikan dalam Belanjawan 2022 memanfaatkan seramai 8.6 juta penerima dengan isi rumah menerima sehingga RM2,500 pada tahun ini.

Menurutnya, bantuan itu adalah yang tertinggi setakat ini pernah diberikan oleh kerajaan.

“Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

“Bayaran Fasa 2 BKM membabitkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan dan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bayaran tambahan tunai itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

Beliau berkata, penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai Isnin ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

“Pembayaran itu juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya semakan status pembayaran boleh dibuat bermula Isnin melalui pautanĀ https://bkm.hasil.gov.my.

Katanya, kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya membabitkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar. – Sumber : hmetro

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.