Penghibur terkenal tanah air Adibah Noor Mohd Omar meninggal dunia kira-kira pada jam 7.40 malam tadi.

Pelakon dan penyanyi berusia 51 tahun itu telah lama bertarung dengan kanser ovari tahap empat.

Pemergiannya diumumkan oleh rakan dan bekas pelakon Emylia Rosnaida di media sosial.

“Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di Hospital Gleneagles sebentar tadi,” kata isteri kepada selebriti AC Mizal itu.

Rahsiakan sakit

Beberapa media melaporkan Adibah menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Harian Metro melaporkan jenazah allahyarhamah akan dibawa pulang ke rumah bapanya di Keramat Permai malam ini.

Selain kemerduan dalam nyanyian, suara Adibah kerap melatari iklan dan dia membintangi filem seperti Sepet, Gubra dan Nasi Lemak 2.0.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan penyanyi dan pelakon Ani Mayuni (gambar bawah) berkata Adibah pernah memberitahunya bahawa dia menghidap penyakit kanser namun meminta agar perkara itu dirahsiakan.

“Arwah minta jangan hebohkan mengenai dia sedang menanggung kesakitan,” katanya.

Selebriti dengan nama penuhnya Aishah An-Nur Osman itu juga memberitahu kesihatan arwah semakin merosot selepas menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV).

“Selepas habis GV dan masa nak shooting GV Raya, masa itu Arwah mula demam sekejap sekejap dan lama sangat dia dimasukkan ke dalam wad.

“Rasa macam pelik kenapa tak keluar keluar (dari hospital)?, ingatkan Covid-19 tetapi bila tanya secara peribadi, baru dapat tahu dia ada kanser dan baru sahaja jalani pembedahan.

“Arwah sedang berpantang, nak berehat dan tak ambil show semua, yang kamu tengok dia muat naik gambar, masa dia dah kurus baru-baru ini, itu adalah shownya yang pertama selepas berehat,” kata Ani yang merupakan bekas peserta GV pada musim sama disertai Adibah Noor.

Allahyarhamah Adibah pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006.-Sumber : Malaysiakini

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.