Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meluahkan kekecewaan baginda terhadap tindakan kerajaan Persekutuan yang seolah-olah menganaktirikan negeri itu.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu amatlah dikesali sedangkan Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.

Baginda bertitah, kerajaan Persekutuan digesa memberi peruntukan yang lebih banyak pada Johor berikutan setiap tahun hampir RM13 bilion hasil Persekutuan yang telah dikutip di negeri ini.

“Saya merasa amat sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian cekap dan keadaan lebih selesa.

“Saya menyeru kerajaan Persekutuan supaya segera tunaikan janji untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) kepada empat lorong.

“Lihat juga keadaan jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang contohnya Jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya.

“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktrikan, walhal Johor antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar Malaysia, mungkin Johor akan lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Baginda juga mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Perjanjian yang termaktub antara Persekutuan dan negeri dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu itu, tidak boleh dicabuli dengan sesuka hati.

“Semua pihak mesti ingat kuasa negeri yang termaktub dalam perjanjian Tanah Melayu, jangan buat keputusan sesuka hati, saya kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.

“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara cuti berehat pada ketika Kabinet belum dibentuk, Johor langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu membabitkan tanah dan kedaulatan Johor. Oleh itu saya mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang langgar kuasa negeri.

“Malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli, maka perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya, dan Johor bukan lagi sebahagian dari Persekutuan,” titah baginda.

Pada 13 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan berkata kerajaan dijangka menerima laporan berhubung isu dan tindakan perundangan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, pada Ogos depan.

Bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengemuka dan membentangkan laporan interim mereka pada penghujung April lalu.

Baginda turut menyentuh mengenai kemasukan pelaburan ke Johor. Sejak 2013 hingga 2018 Johor menduduki tempat pertama daripada jumlah pelaburan di Malaysia berikutan keadaan politik stabil pada ketika itu yang telah bawa banyak pelaburan ke Iskandar Malaysia dan Pengerang.

Namun titah baginda, sejak 2019 hingga kini nilai pelaburan di Johor semakin merosot.

“Kenapa perkara ini terjadi, puncanya bukan kerana virus COVID-19 tetapi punca utama yang saya nampak adalah virus iri hati dan cemburu pada Johor.

“Ada pelabur nak membangunkan ladang solar terbesar di Pengerang namun kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan dengan alasan tiada kuota.

“Ada pelabur hendak membangunkan pusat tenaga dan pelabuhan laut dalam di Perairan Muar namun ada pula monyet yang melompat-lompat. Tidak mahu pembangunan dibuat sedangkan projek itu akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin kepada penduduk tempatan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, jika keadaan itu berterusan, maka jangan mimpi untuk tarik pelaburan yang besar ke Johor ini.

“Oleh itu, saya ingatkan kepada kerajaan negeri supaya buatkan perubahan berani demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

“Saya juga menggesa kerajaan untuk laksana projek pembangunan infrastruktur seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan lebuh raya baharu kerana ia akan beri limpahan ekonomi kepada pembekal dan kontraktor tempatan selain buka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri juga tidak akan lagi beri hakmilik tanah kepada kerajaan Persekutuan. Tetapi mana-mana projek Persekutuan di Johor akan diberi status tanah rizab untuk tujuan yang hendak digunakan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultah Ibrahim bertitah supaya dasar dan polisi kerajaan juga mestilah konsisten dan tidak berubah-ubah mengikut acuan politik.

“Saya menyeru kerajaan Persekutuan supaya jangan buat keputusan mengikut selera sendiri. Fikir kesan dan akibatnya kepada negeri-negeri.

“Sebagai contoh program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pada asalnya kerajaan bersungguh-sungguh menggalakkan orang luar untuk datang dan melabur di sini.

“Namun apabila pentadbiran kerajaan bertukar segala dasar dan polisi pun turut berubah sesuka hati. Tindakan ini menyebabkan pembangunan hartanah di Johor terencat dan pelabur luar hilang keyakinan.

“Pesanan saya kepada kerajaan Persekutuan, jika tidak boleh membantu janganlah pula menyusahkan negeri,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa had umur minimum kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor bukannya 18 tahun, sebaliknya kekal 21 tahun.

“Ini kerana pindaan Enakmen yang lalu saya belum beri persetujuan. Pada hemat saya, cadangan turunkan had umur minimum berkenaan adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan.

“Namun begitu saya tetap sokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas, tetapi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) saya rasakan tidak sesuai,” titah baginda.-Sumber : bharian

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.