Sindiket persundalan di seluruh negara kini semakin sibuk mencari gadis-gadis cantik dan bertubuh seksi semata-mata untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap perkhidmatan wanita pelayan pelanggan (GRO).
Malah, ada dalam kalangan sindiket yang mula membawa masuk GRO warga asing termasuk dari China, Indonesia dan Vietnam sejak kerajaan membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi pada Mei lalu.
Antara kriteria utama yang diletakkan adalah seseorang GRO itu perlu mempunyai paras rupa yang cantik, seksi, manja dan pandai menggoda dengan wanita dari China paling mendapat permintaan tinggi.
Difahamkan, kebanyakan GRO yang terlibat dalam aktiviti persundalan ini berusia antara 17 hingga 48 tahun.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, GRO berminat bekerja di negara ini kerana mereka mampu meraih pendapatan yang lumayan sehingga mencecah RM36,000 sebulan.
“Hasil siasatan mendapati, segelintir kumpulan wanita asing masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial selain melalui ejen-ejen bagi menjalankan kegiatan tidak bermoral.
“Bagaimanapun, kemasukan kumpulan ini masih dalam jumlah yang kecil berikutan tapisan keselamatan ketat oleh Jabatan Imigresen,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau menambah, ada sebilangan kecil kumpulan sindiket menggunakan laluan salah untuk membawa masuk wanita warga asing dari China selain dari Vietnam, Thailand, Indonesia dan juga Myanmar.
Namun katanya, modus operandi yang digunakan sindiket ini masih lagi dalam siasatan pihak D3 JSJ Bukit Aman.
Jelas Abd. Jalil, GRO warga China mendapat permintaan yang paling tinggi dalam kalangan pengunjung pusat hiburan kerana faktor bahasa serta perkongsian gaya hidup yang sama seperti suka berada dalam keadaan mabuk.
“Faktor persekitaran memainkan peranan di mana penggunaan bahasa Mandarin dan Kantonis memudahkan GRO warga asing ini berkomunikasi dengan pelanggan,” ujarnya.
Berdasarkan risikan JSJ, kebanyakan GRO ini menyasarkan pusat hiburan eksklusif untuk bekerja kerana rata-rata pelanggan mempunyai status kewangan yang kukuh dan tidak lokek untuk berbelanja lebih demi mendapatkan kepuasan semasa berhibur.
Abd. Jalil berkata, GRO warga asing mampu meraih pendapatan yang lumayan setiap bulan terutamanya GRO berstatus VIP hingga mencecah RM36,000 bergantung kepada jumlah masa mereka bekerja dan juga tip yang diberikan pelanggan.
“Jika mereka bekerja sekitar lima hingga enam jam satu malam, purata pendapatan kasar adalah RM1,800 hingga RM3,000.Pendapatan itu dikongsi dengan ejen (25 hingga 30 peratus) dan pemilik kelab (15 peratus).
“Purata jumlah pendapatan bulanan juga bergantung kepada jumlah hari bekerja dan juga pelanggan yang dilayan. Jika mereka bekerja 20 hari, purata pendapatan RM18,000 sehingga RM36,000 sebulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abd. Jalil menambah, bagi pusat hiburan kategori pertengahan, kadar bayaran yang diterima GRO tersebut adalah sekitar RM450 hingga RM1,000 bagi empat jam pertama dan kadar bayaran tambahan yang dikenakan adalah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap jam seterusnya.
“Bagi kelab eksklusif pula, kadar bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,800 hingga RM3,000 bagi pakej empat jam pertama dan bayaran tambahan sekitar RM150 ke RM350 dikenakan bagi setiap jam seterusnya,” katanya.- Sumber : Kosmo Online