Memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input adalah antara langkah yang akan diambil oleh kerajaan sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.

“Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah antara keputusan yang dicapai hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan beliau hari ini, dan menurutnya mesyuarat itu membincangkan tiga perkara utama yang berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, serta menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Perbincangan membabitkan pembentangan pihak Khazanah Research Institute (KRI), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan wakil-wakil industri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keputusan lain yang dipersetujui ialah usaha memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

Koordinasi ini katanya, bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

“Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan berkenaan terbabit dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta dengan memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian.

“Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran, program ladang kontrak akan terus digalakkan di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

Ismail Sabri berkata, kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global untuk menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.- Sumber : hmetro

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.