Penduduk luar bandar di negeri ini dinasihatkan tidak terburu-buru mengusahakan penanaman pokok ketum di kawasan tanah milik mereka walaupun ada cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penduduk sebaiknya perlu menunggu keputusan rasmi kerajaan persekutuan berkaitan perkara berkenaan yang setakat ini belum ditentukan.

“Kita boleh menjadi seorang yang positif dan progresif dalam urusan berkaitan dengan ketum tapi kita tunggulah sampai keputusan dibuat kerajaan.

“Jadi kalau kata keputusan kerajaan nanti, jika dibenarkan (eksport daun ketum) barulah kita, bertindak mengikut lunas undang-undang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Padang Terap di Kuala Nerang hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan berita mengenai kegiatan penanaman ketum yang didakwa berleluasa selain terdapat pembukaan kebun atau ladang ketum baharu negeri ini khususnya di daerah Padang Terap.

Mahdzir berkata penanaman pokok ketum oleh penduduk luar bandar khususnya di daerah ini sudah lama dijalankan namun beliau menolak dakwaan terdapat kebun atau ladang baharu dibuka.

Menurutnya, apabila terdapat cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport penduduk luar bandar atau penanam ketum melihatnya sebagai peluang untuk untuk mengusahakan tanaman tersebut.

“Jadi ia bukanlah pertambahan tapi apabila ada perkhabaran-perkhabaran baik walaupun belum tentu lagi kepastian ataupun kelulusan tapi pada mereka ia dianggap sebagai positif, jadi dia betulkan (menguruskan semula) ladang-ladang dia (yang sebelum ini tidak diuruskan),” katanya.

Dalam isu lain, Mahdzir berkata Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah menyalurkan bantuan persekolahan kepada 53,741 pelajar di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta pada tahun lalu.

Katanya, bantuan itu antaranya melibatkan bantuan kewangan secara sekali beri barangan dan kelengkapan persekolahan yang disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi memulakan sesi persekolahan.

“Bagi tahun ini, kita jangka jumlah peruntukan bantuan YPM yang sama akan disalurkan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya.–Sumber : Malaysiakini

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.