Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggesa pengguna yang terjejas oleh perubahan jadual penerbangan untuk membuat aduan kepada syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan pengguna menerima penjagaan dan bayaran balik yang sewajarnya.

Dalam satu kenyataan, Mavcom berkata Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), yang diperkenalkan oleh suruhanjaya itu pada 2016 dan ditambah baik pada 2019 untuk melindungi kepentingan pengguna dalam perjalanan udara, memerlukan syarikat penerbangan menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 30 hari selepas aduan tersebut diterima.

Pengerusi Eksekutif suruhanjaya itu Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pengguna perlu dimaklumkan dengan baik hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan dan menyedari bahawa syarikat penerbangan serta penyedia perkhidmatan penerbangan lain perlu menyelesaikan aduan mereka dalam tempoh 30 hari seperti yang digariskan dalam MACPC.

“Keperluan garis masa ini juga terpakai bagi pelbagai isu yang berkaitan dengan sektor penerbangan termasuk isu pembatalan penerbangan, isu kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata sekiranya maklum balas yang diberikan oleh syarikat penerbangan tidak memuaskan atau aduan tersebut masih tidak dapat diselesaikan, pengguna diminta untuk mengemukakan aduan kepada Mavcom bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan.

Saripuddin berkata sejak penubuhan Mavcom pada 2016, suruhanjaya itu telah menerima dan membantu lebih daripada 22,000 aduan serta maklum balas daripada pengguna.

“Mavcom ingin menegaskan sekali lagi bahawa hak-hak pengguna penerbangan perlu sentiasa diutamakan oleh syarikat penerbangan dan penyiasatan sedang dijalankan berkenaan isu penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan semasa musim perayaan baru-baru ini.

“Semakan Mavcom, berdasarkan fakta dan data ini bertujuan untuk memberikan pandangan yang objektif, tepat dan menyeluruh mengenai situasi tersebut,” katanya dan menambah bahawa hasil siasatan Mavcom mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata Mavcom akan berpandukan mekanisme pengenaan penalti kewangan yang sedia ada sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan kepada MACPC atau Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Sebelum ini, Mavcom telah mengenakan penalti berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.

“Bagi pengguna yang terjejas dan tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan penerbangan digalakkan untuk mengemukakan aduan kepada Mavcom melalui laman sesawang FlySmart di www.flysmart.my, atau aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store,” katanya.

Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna di 1800-18-6966 bagi panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 bagi panggilan di luar Malaysia– Sumber : Malaysiakini

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

 

By admin

Leave a Reply