Setelah lebih sebulan dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor, komposer Yasin Sulaiman meluah perasaan merayu dia dibebaskan.

Melalui hantaran Instagram – yang kini dikendalikan anggota keluarganya – Yasin berkongsi perkembangan sewaktu berada dalam tirai besi itu.

“Lagu ini dicipta oleh Yasin semasa di Penjara Sungai Buloh. Yasin meminta lirik lagu ini dikongsikan di instagram untuk sahabat, teman dan peminat,” menurut kapsyen akaun tersebut.

Lirik lagu yang dimulai dengan frasa “bebaskan aku” seolah-olah memberitahu dia meminta pertolongan untuk dibebaskan dari penjara.

Antara lirik lain meruntun jiwa ditulis Yasin menggambarkan dia tidak ingin melihat insan yang tersayang berasa susah hati melihat keadaannya ketika ini.

“Ku utuskan kata-kata di sebalik tirai besi, tanpa dapat kutitiskan air mata sepi, bila ku katakan semuanya baik di sini, ku tak ingin engkau rasa susah hati.

“Hatiku berkecai seolah sudah tiada, dan jiwaku ini terus meronta, ingin bebas dan bersamamu semula,” tulisnya.

Turut dikongsikan adalah kredit hasil ciptaan lagu tersebut yang melodinya tertera bahawa nama Yasin sebagai komposer manakala lirik juga ditulis olehnya dan Jo Tan di Klinik Penjara Sungai Buloh.

Pada 31 Mac lalu, Yasin didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas dua pertuduhan mengedar dadah dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah juga menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.– Sumber : Malaysiakini

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.