Sikap janggal rakan-rakan sekelas untuk menerima kehadirannya ketika mula bergelar penuntut universiti sebagai orang kelainan upaya (OKU) beberapa tahun lalu tidak melunturkan semangat Norul Syahida Zainal Abidin.

Sebaliknya, penuntut jurusan Bahasa Melayu Profesional dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu memandang cabaran tersebut dari sudut positif dengan terus cekal sehingga rakan-rakan seperjuangan dapat menerima kehadirannya tanpa rasa simpati.

Mengalami cacat penglihatan disebabkan masalah saraf sejak berusia 12 tahun, Norul Syahida, 24, yang berasal dari Terengganu tabah menghadapi kehidupan di kampus.

“Alhamdulillah, saya dapat mengatasi cabaran sehingga berjaya meneruskan pengajian yang kini memasuki tahun akhir dan menjalani latihan industri disebabkan sokongan rakan-rakan yang menerima saya tanpa ada rasa simpati,” katanya ketika ditemui di kampus UM baru-baru ini.

Mengimbas awal pengajiannya, Norul Syahida mengakui, pada mulanya keadaan sekeliling membuatkan dirinya berasa rendah diri, tambahan pula apabila berasakan rakan-rakan agak janggal dengannya.

“Tapi lama-kelamaan, saya fikir perlu cari jalan penyelesaian untuk ‘pecahkan’ keadaan itu. Jadi, saya turunkan ego dengan cuba mendekati mereka. Saya ambil positif bahawa pelajar-pelajar normal ini barangkali sebahagiannya tiada pengalaman bergaul dengan orang OKU seperti saya.“Bagaimanapun, ada pula yang lebih kepada bersimpati. Contohnya, apabila saya ingin ke dewan kuliah atau aktiviti luar, keadaan saya membataskan pergerakan. Ada yang datang bertanyakan, bolehkah buka pintu dewan untuk masuk? Sedangkan saya mengharapkan untuk ‘pinjamkan mata’ mereka untuk bantu saya memasuki dewan kuliah.

“Golongan OKU seperti saya bukan perlukan simpati, masyarakat hanya perlu kongsikan keupayaan yang kami tiada pada waktu yang diperlukan,” luahnya.

Dalam pada itu, di Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans, Muhammad Faiz Roslan, 23, yang menghidap cerebral palsy dan mengalami masalah otot kejang pada kedua-dua belah kaki tidak pernah berasakan dirinya sebagai OKU.

Sebaliknya, dia menjadikan kekurangan tersebut yang dialami disebabkan kelahiran pramatang sebagai kekuatan untuk berdikari seperti individu normal.

“Pergerakan saya sangat perlahan dan perlu berpaut pada sesuatu dan disebabkan masalah itu, saya perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak dengan lebih lancar.

“Walaupun dalam keadaan yang terpaksa berkerusi roda untuk bergerak, saya pilih untuk sambung pengajian di universiti dan berdikari dengan tinggal di pusat penginapan dalam kampus.

“Mungkin ramai yang tidak percaya, tetapi saya sudah buktikan bahawa dengan berkerusi roda, saya mampu berdikari dan menyesuaikan diri di kampus sejak menjejakkan kaki di UUM pada 2018,” ujarnya.

Muhammad Faiz berkata, biarpun kerap terjatuh akibat tersadung, namun ia sudah menjadi perkara biasa buatnya.

“Jatuh itu sudah biasa bagi saya. Bila jatuh, saya bangun sendiri dan kalau boleh tidak mahu menyusahkan orang lain, namun ramai kawan yang mahu hulurkan bantuan.

“Mungkin saya sudah terbiasa berdikari kerana sejak kecil, saya tidak berada dalam komuniti OKU dan sudah terbiasa dengan rentak orang normal,” jelasnya.

Ujarnya, pihak universiti juga menyediakan banyak kemudahan buat golongan seperti mereka.

“Sebagai contoh, pihak UUM menyediakan pengangkutan khas untuk membawa saya dan rakan-rakan OKU ke kelas, selain memberikan kemudahan bilik penginapan berkemudahan OKU seperti pemegang di tandas,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Muhammad Khairulimran Adam yang buta mata kiri tidak mensia-siakan peluang berada di menara gading dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

Muhammad Khairulimran, 21, yang merupakan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Profesional tetap rajin menelaah nota pengajian diberikan pensyarahnya.

Dia mengakui, terpaksa membesarkan skrin komputer riba dan telefon pintar setiap kali sesi ulang kaji.

“Mata kiri saya ‘hilang’ ketika sejak dan bergantung sepenuhnya kepada mata kanan.

“Saya sedaya upaya cuba memahami apa yang pensyarah ajar secepat mungkin.

“Pensyarah juga memahami keadaan diri saya,” katanya yang bercita-cita menjadi penterjemah.

Muhammad Khairulimran yang berasal dari Johor Bahru memberitahu, dia terpaksa menghafal dan mengingati kedudukan sesuatu tempat bagi memudahkan perjalanannya.
Ini ekoran dia akan terlanggar objek ketika berjalan berikutan kekurangannya itu.

Pembelajaran secara online yang semakin kerap dilaksanakan ekoran pandemik turut memberikan kesulitan tertentu kepada penuntut OKU di universiti.

Dalam hal ini, pelajar UM, Mohamad Syamil Zam Zam, 23, yang menuntut di tahun kedua jurusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial berkongsi cabaran bergelar pelajar OKU cacat penglihatan ketika melalui pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selama ini dia terbiasa dengan pembelajaran sesama rakan OKU sejak zaman persekolahan dan belajar secara inklusif bersama pelajar normal di universiti sebelum ini, keyakinan dirinya hilang semasa pembelajaran online.

“Apabila buka kamera, saya tak tahu saya pandang apa.

“Saya nak bersuara dalam kelas, tapi saya terus jadi keliru, takut ada pelajar lain tengah bersuara dalam kelas. Saya rasa susah nak bersuara, itu membuatkan keyakinan saya hilang,” kongsinya.

Biarpun sukar, Mohamad Syamil bagaimanapun terus berusaha agar dapat membiasakan diri dengan situasi pembelajaran norma baharu itu.– Sumber : KOnline

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.