Orang ramai boleh meneruskan percutian tetapi perlu memastikan mereka sudah mengambil vaksin dan dos penggalak selain membuat ujian saringan setiap kali terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.
Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Malina Osman berkata, perkara itu penting bagi mengurangkan risiko jangkitan varian Omicron yang semakin menular.
“Bagaimanapun, orang ramai terutama kumpulan berisiko dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan dan perjalanan yang tidak penting ketika musim cuti sekolah bagi menyekat penularan Covid-19.
“Bagi yang bekerja, patuhi prosedur operasi standard serta mengehadkan penggunaan pantri dan surau. Jangan buka pelitup muka di tempat kerja,” katanya.
Dalam pada itu di Perak, seorang pengunjung Pulau Pangkor, Muhaimin Ahmad, 31, berkata, dia hampir membatalkan percutian yang telah dirancang selama enam bulan itu kerana khuatir dengan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
“Saya pergi minggu ini untuk elak orang lebih ramai ketika cuti sekolah. Kalau sudah sesak, kadar kebolehjangkitan pun tinggi,” katanya.
Seorang lagi pelancong, Nora Ashikin Abdul Rahman, 45, berkata, dia terpaksa membatalkan percutiannya ke Pulau Pinang pada musim cuti sekolah ini dan pergi ke Pulau Pangkor.
“Ahli keluarga di Pulau Pinang juga ada yang telah dijangkiti Covid-19, jadi kami batalkan saja cuti ke sana.
“Saya pergi minggu ini kerana saya rasa orang akan lebih ramai masuk ke Pulau Pangkor pada minggu hadapan kerana musim cuti sekolah. Saya tidak mahu merisikokan diri,” katanya. Sumber : – K! ONLINE