Seorang lelaki kanibal yang membunuh dan memakan rakan sekelasnya sendiri dilaporkan terlepas daripada menjalani hukuman penjara, demikian menurut akhbar Mirror UK kelmarin.

Dilahirkan pada 1949, Issei Sagawa mendakwa bahawa dia mula berkhayal tentang memakan daging manusia ketika berusia enam tahun dan turut berkata, cerita kegemaran ketika zaman kanak-kanaknya adalah Hansel dan Gretel.

Sagawa memaklumkan pernah memandang peha rakan sekelasnya semasa di sekolah rendah dan berfikir ‘Mmm, itu nampak sedap’.

Apabila meningkat dewasa, fantasi kanibalnya menjadi seksual apabila Sagawa mula berkhayal tentang memakan daging wanita  terutamanya pelakon Barat, Grace Kelly. Ketika berusia 23 tahun Sagawa menceroboh sebuah apartmen milik seorang wanita muda Jerman di Tokyo dengan memakai topeng raksasa Frankenstein.

Wanita itu tersedar sebelum bertindak menyerang dan mengalahkan Sagawa yang memiliki ketinggian hanya 144.78 sentimeter. Tuduhan digugurkan selepas bapa Sagawa yang kaya menyogok wanita itu dengan wang.

Pada 1977 pula, Sagawa melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa dan sastera di Universiti Sorbonne. Dia yang ketika itu berusia 28 tahun, berkawan dengan rakan sekelas dari Belanda, Renee Hartevelt yang kerap ke rumahnya untuk mengajar bahasa Jerman.

Ketika ke rumah Sagawa untuk makan malam pada Jun 1981, Renee ditembak di leher oleh lelaki itu sebelum mayat mangsa diperkosa dan daging daripada tubuhnya dimakan.

Selama dua hari, lelaki kanibal itu memakan bahagian payudara, betis, bibir dan peha sebelum memutuskan untuk memuatkan lebihan mayat ke dalam dua bagasi dan dibuang di Taman Bois de Boulogne.

Bagaimanapun, dua pelari yang terkejut melihat darah menitik daripada bagasi-bagasi tersebut bertindak melaporkannya kepada polis. Sagawa kemudian ditangkap dan ditahan di Perancis selama dua tahun untuk diperiksa oleh ahli-ahli psikologi. Bapa Sagawa sekali lagi mengupah seorang peguam untuk mengisytiharkan dia gila secara rasmi dan dan tidak layak untuk dibicarakan.

Setelah kembali ke Jepun, Sagawa kemudian menjadi selebriti dan membintangi sebuah filem lucah pada 1992 di mana dia berlakon memakan seorang wanita. Kini, Sagawa berusia 72 tahun dan tinggal dengan menggunakan nama baharu di Tokyo. Dia dijaga oleh seorang adik lelaki selepas strok pada 2013.- Sumber : – K! ONLINE

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.