Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan terhadap tertuduh Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama di masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan kompaun tersebut,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.

Terdahulu Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonan Ahmad agar kes tersebut dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Sumber : K! ONLINE

Teruskan bersama kami selepas anda membaca sila like & share. Terima kasih

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.