H4R4PKAN kakak, kakak yang buat hal. Itu yang berlaku kepada seorang gadis yang menumpang di rumah kakaknya di ibu kota selepas mendapat pekerjaan.

Dia tidak pernah menduga, kakaknya yang disanjung dan dihormati selama ini tergamak membawa lelaki masuk ke rumah. Sejak itu, gadis yang bernama 4ina (bukan nama sebenar) berada dalam keadaan stres kerana tidak sanggup lagi bersubahat dengan dosa kakaknya.

Dia kini sedang mencari pekerjaan lebih baik dan tekad untuk keluar dari rumah kakaknya itu bagi mencari kehidupan lebih aman, damai tanpa diburu rasa berdosa.

AINA termenung memikirkan nasib yang menimpa dirinya. Mahu diluah mati emak, ditelan mati bapak. Hidup kini boleh diumpamakan seperti serba-serbi tidak kena.

“Saya tidak mahu terus menerus bergelumang dengan dosa.

“Memanglah bukan saya yang bersekedudukan, tetapi ia dikira sebagai bersubahat apabila memejamkan sahaja mata melihat kakak membawa pulang teman lelaki ke dalam rumah ini.

“Kelakuan mereka pula tidak ubah seperti pasangan suami isteri,” luahnya kesal.

Menurut anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu lagi, Alisa yang merupakan kakak ketiganya diumpamakan sebagai seorang insan yang sangat pemurah dan baik hati.

Malahan wanita berusia 35 tahun itu juga merupakan antara tunjang keluarga apabila dia sahaja yang sering mengambil berat dan menampung perbelanjaan keluarga di kampung.

Keadaan tersebut menyebabkan Aina begitu menghormati Alisa.

Lantaran itu sebaik menamatkan pengajian, dia mengambil keputusan untuk menetap di kediaman Alisa sementara mencari pekerjaan. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Alisa tinggal seorang diri.

Bercerita lanjut, menurut Aina, pada awalnya, semuanya baik-baik belaka.
Perwatakan Alisa tiada cacat celanya apabila semuanya sama sahaja seperti yang dilihat ketika kakaknya itu pulang ke kampung.

Biarpun pakaiannya kadang-kala agak mencolok mata, namun Aina tidak mengendahkan hal tersebut kerana faham tugas kakaknya sebagai seorang sekretari memerlukan dia berpakaian sedemikian.

Asalkan dia tidak meninggalkan Rukun Islam kedua iaitu solat sudah mencukupi bagi Aina.

Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila Aina terserempak dengan teman lelaki kakaknya di rumah tersebut kira-kira enam bulan kemudian.

“Masih ingat lagi ketika itu saya pulang ke rumah awal kerana demam. Sedang ke dapur untuk mengambil air, saya terlihat kelibat seorang lelaki yang hanya berseluar pendek sedang memasak mi segera.

“Pada waktu itu saya sangka sedang berhalusinasi kerana tidak sihat. Tetapi apabila terdengar dia menjerit terkejut, barulah saya tersedar lelaki itu benar-benar berada di hadapan mata saya,” ceritanya.

Terkejut dengan insiden itu, Aina berlari mengurung dirinya di dalam bilik.

“Kakak datang menjelaskan perkara sebenar. Katanya, teman lelakinya itu hanya menumpang seketika di rumah kami kerana kunci rumahnya tertinggal di kampung.

“Kerana begitu naif, saya mempercayai kata-kata kakak. Tetapi, perkara sebaliknya pula berlaku apabila teman lelakinya semakin kerap dilihat di dalam rumah selepas insiden itu.

“Paling menyakitkan hati apabila saya pernah terlihat mereka melakukan hubungan terlarang seperti suami isteri. Hancur hati saya kerana teringatkan ibu dan ayah di kampung,” ujarnya dengan nada sedih.

Tidak sanggup melihat darah dagingnya tersimpang jauh, Aina nekad menasihati kakaknya.

Seperti yang diduganya, Alisa menghamburkan kata-kata kesat terhadap Aina seolah-olah gadis itu yang bersalah.

“Saya sangat tertekan kerana kelakuan Alisa sangat berbeza dengan dirinya yang dikenali sebelum ini.

“Diminta menghalalkan perhubungan tersebut dengan berkahwin, dia enggan kerana mendakwa masih muda dan tidak mahu tersalah pilih suami. Tetapi dia tidak sedar perbuatannya itu sudah melampau dan tiada siapa yang mahu memperisterikan wanita yang ‘ditebuk tupai’,” katanya.

Tambah Aina lagi, dia pernah terfikir untuk memberitahu ibu dan ayah berkenaan hal ini. Tetapi kerana memikirkan mereka sudah terlalu tua dan bimbang keadaan menjadi semakin keruh, gadis ini terpaksa pendamkan perkara itu begitu sahaja.

Melihatkan keadaan maksiat kakaknya semakin tidak terkawal, dia nekad untuk berpindah.

Bagaimanapun hasrat tersebut ditegah ibu dan bapanya kerana mendakwa Aina masih mentah untuk memahami pahit manis kehidupan di kota.

“Ibu khuatir jika saya dipertemukan dengan rakan serumah yang terlalu sosial dan bermasalah.

“Sedangkan ibu sendiri tidak sedar situasi yang saya hadapi tatkala duduk bersama kakak sama sahaja. Malahan lebih teruk,” ujarnya.

Akur dengan permintaan ibu, Aina terpaksa memejamkan mata apabila terlihat adegan tidak kurang senonoh kakaknya itu.

Begitupun dalam diam, dia kini sedang mencari pekerjaan baharu supaya boleh pergi jauh daripada hidup Alisa.

Sumber : K! ONLINE

Teruskan bersama kami selepas anda membaca sila like & share. Terima kasih

Subscribe like & share channel kami untuk berita terkini & sensasi, terima kasih

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.