Kesemua 31 menteri dan 37 timbalan menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, pada Isnin tanpa kehadiran Perdana Menteri.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis pada jam 2.30 petang itu dimulai dengan irama lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan di Balairung Seri, di istana berkenaan.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob tidak dapat hadir kerana menjalani kuaranti kendiri bermula hari ini kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

 

Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu dibahagikan kepada lima kumpulan dengan kumpulan pertama seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddi Hussein (Menteri Kanan Pertahanan); Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kanan Kerja Raya) dan Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin ; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Menteri Kanan Pengangkutan).

Selain itu, dalam kumpulan sama adalah Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (Menteri Kewangan) dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan (Menteri Sumber Manusia).

Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh orang iaitu; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Sabah dan Sarawak);Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan); Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Takiyuddin Hassa (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi).

Kumpulan ketiga pula terdiri daripada ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun (Menteri Wanita dan Keluarga) Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia); Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara);Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Ekonomi).

Kumpulan keempat pula meliputi Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar; Ahli Parlimen Ampang, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi); Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas); Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Parlimen dan Undang-undang) dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

Kumpulan terakhir, kumpulan kelima, terdiri daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, (Menteri Pembangunan Luar Bandar);Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan); Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan) dan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama).

Selepas menteri-menteri itu, giliran 37 timbalan menteri pula mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan mengesahkan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan itu petang Isnin kerana dijangkiti Covid-19 yang kini sedang dirawat di Kuala Lumpur.

Semua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri, Jumaat lalu, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka pada 20 Ogos. – Sumber : mstar.com

Teruskan bersama kami selepas anda membaca sila like & share. Terima kasih

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.