PERNAH berhasrat mahu bersara dari sukan badminton pada tahun 2012, atlet beregu wanita Indonesia, Greysia Polii, bersyukur kerana tidak mengikut kata hati.

Ternyata, keputusan Greysia untuk menangguhkan hasrat menggantung raket akhirnya berjaya membuahkan hasil dengan kejayaan meraih emas di Olimpik Tokyo 2020 tempoh hari.

Bergandingan bersama rakan beregu 4priyani Rahayu, Greysia memberitahu, sepanjang kariernya dia tidak pernah fokus terhadap pencapaian tetapi hanya memberikan usaha yang maksimum untuk meraih kejayaan demi kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertainya.

“Saya sudah 90 peratus yakin untuk bersara selepas hilang kelayakan dalam Sukan Olimpik London 2012. Begitupun, saya cuba untuk melupakan apa yang telah terjadi dan mengembalikan motivasi serta memberikan yang terbaik dalam karier.

Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, gandingan Greysia dan Apriyani berjaya menewaskan pasangan China, Chen Qingchen-Jia Yifan dengan keputusan straight set 21-19, 21-15 di pentas final bagi membolehkan Indonesia meraih emas pertama Olimpik dalam acara beregu wanita.

Pemain badminton senior Indonesia itu turut berkongsi cerita bahawa dia juga tidak lari daripada tekanan sebagai salah satu tonggak kepada pasukan beregu wanita di sana selama lebih satu dekad

Jelasnya, walaupun tidak fokus kepada pencapaian, dia dan Apriyani tetap terpalit dengan tekanan memandangkan badminton adalah salah satu sukan kebanggaan negara jiran itu.

Menurutnya, tekanan makin memuncak apabila menjadi satu-satunya wakil Indonesia yang tinggal untuk memburu emas Olimpik di bumi Tokyo.

“Malahan selepas menang, perasaan kami bercampur baur dan ada ketika seperti terlupa yang ini adalah Sukan Olimpik.

“Tipu jika kami tidak gugup tetapi kami tetap berusaha memberikan yang terbaik.

“Kemenangan ini adalah kebanggaan untuk skuad badminton Indonesia dan juga satu penanda aras baharu untuk pasukan beregu wanita,” ujarnya.

Bercerita tentang hubungannya dengan Apriyani, Greysia memberitahu, keserasian mereka merupakan kunci kepada kejayaan kontinjen Indonesia.

Mula mengenali sesama sendiri semasa bertanding acara perseorangan pada Kejohanan Nasional 2016, Greysia melihat Apriyani sebagai seorang atlet yang berpotensi dan merendah diri.

Malah cerita Greysia, Apriyani juga cukup menghormati golongan lebih senior dan sering mencium tangan tanda hormat setiap kali bertemu.

Berkongsi tentang perancangan selepas emas Olimpik pula, Greysia memberitahu, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyumbang lebih banyak kejayaan kepada skuad badminton negara republik itu.

Cuma pada masa sama, Greysia seakan-akan memberikan bayangan awal tidak akan mempertahankan emas yang dimenanginya selepas menegaskan edisi Tokyo 2020 sebagai penampilan terakhirnya di pentas Olimpik.

Sudah berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Felix Djimin pada Disember tahun lalu, Greysia juga sudah mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang perniagaan apabila mengeluarkan jenama fesyen sukan sendiri iaitu Fine Counsel.

Jelasnya, perniagaan itu merupakan perancangan jangka panjang selepas bersara daripada arena badminton nanti.

Berpusat di Malang, Jawa Timur, Indonesia, pembuatan produknya juga merupakan hasil tangan golongan wanita di sana.

Pada majlis penghargaan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini, Greysia juga menawarkan kasut jenis sneakers jenamanya kepada pemimpin negara itu.

Sebagai tanda sokongan, Presiden Jokowi turut membeli kasut berkenaan dan menyarungnya sendiri di hadapan penyumbang emas tunggal kontinjen Indonesia pada Olimpik Tokyo 2020 itu.

Sumber : mStar.com.my

Selepas membaca sila like & share. Terima kasih

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.