PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak pernah menamakan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin malam.

Beliau berkata demikian susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga 4hli Parlimen Bagan Datuk berkata, Umno sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli Parlimen. Saya ingin meminta seluruh ahli dan kepimpinan Umno di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak supaya memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara.

Bagi mengelakkan krisis ini berulang, beliau mencadangkan empat perkara, iaitu sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik Covid-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

“Bagi tujuan ini, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” kata Ahmad Zahid.

Sumber : mstar.com.my

Selepas membaca sila like & share. Terima kasih

MAKLUMAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen -komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pengomen itu sendiri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.